Isu Tenaga Buruh dan Dilema Wanita

Dr. Elya Nabila Abdul Bahri-1

Author

Dr. Elya Nabila Abdul Bahri

Laporan Jurang Gender Global (GGG) 2022 menunjukkan bahawa 48.44 peratus wanita memasuki institut pendidikan tinggi berbanding 37.05 peratus lelaki. Ini menunjukkan bahawa kebanyakan pekerja mahir adalah dari kalangan wanita. Malaysia di tangga ke-103 daripada 146 negara bagi aspek merapatkan kesenjangan gender dalam empat bidang utama iaitu politik, ekonomi, pendidikan dan kesihatan. Namun begitu, Malaysia masih berada di kedudukan lebih rendah berbanding beberapa negara jiran serantau seperti Singapura (49), Thailand (79) dan Indonesia (92). Ini bermakna graduan universiti wanita tidak semuanya menyumbang kepada ekonomi dalam pasaran buruh. 

Walaupun secara purata dalam tempoh 1990 sehingga 2000, sebanyak 224,000 graduan dilahirkan setiap tahun, namun penawaran pekerjaan berkemahiran tinggi hanya 127,000. Angka-angka ini menunjukkan berlaku persaingan sengit graduan memasuki alam pekerjaan. Secara keseluruhan, situasi ini dilihat sebagai suatu lebihan penawaran buruh. Namun begitu, lebih ramai graduan tidak dapat diserap dalam pasaran buruh antaranya kerana program yang dipelajari kurang diperlukan dalam pasaran kerja. Ini kerana dalam satu sub-sektor yang tertentu mengalami kekurangan tenaga buruh mahir seperti industri elektrik dan elektronik memerlukan 50,000 orang jurutera, berbanding 5,000 graduan setahun yang dilahirkan. Hal ini menyebabkan negara kini terpaksa bergantung kepada graduan asing institut pengajian tinggi untuk memenuhi keperluan tersebut dalam sub-sektor tertentu. Tambahan pula, negara menghadapi krisis kekurangan tenaga buruh mahir memandangkan lebih 458,000 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sejak tahun 2020 tidak mahu sambung belajar, tetapi lebih cenderung untuk menjadi penggiat gig tanpa berteraskan majikan dan tanpa memerlukan lulusan pendidikan tinggi disamping faktor mendepani kos sara hidup yang tinggi. Sasaran negara untuk mencapai 35 peratus pekerja mahir pada tahun 2030 akan terbatas ekoran situasi ini.

Isu ketidakseimbangan pasaran buruh yang berlaku bukan sahaja berkaitan kekurangan buruh mahir, tetapi juga graduan yang belum mendapat pekerjaan. Malahan, mereka yang sudah bekerja walaupun memperoleh gaji yang tinggi, tetapi terpaksa keluar dari pasaran buruh terutamanya golongan wanita ekoran cabaran peribadi. Menurut suatu kajian oleh Universiti Putra Malaysia (UPM), sebanyak 30% hingga 40% wanita di Malaysia berhenti kerja setelah berkahwin. Antara sebab mengapa wanita berhenti kerja adalah kerana terlalu penat bekerja dan menjalankan tanggungjawab sebagai isteri di rumah. 

Kualiti di tempat kerja dan kualiti kerja di rumah perlu dijaga. Situasi sebegini adalah lumrah bagi negara lain seperti Jepun di mana lebih 60% wanita Jepun berhenti kerja setelah berkahwin. Namun begitu, penglibatan wanita Jepun dalam tenaga buruh adalah 74 peratus pada tahun 2022, berbanding 52.7 peratus di Malaysia. Di Jepun, menjadi suri rumah merupakan suatu jawatan yang berharga di mana kebanyakan suami akan memberikan semua wang gajinya kepada isteri, dan isteri menjadi ‘menteri kewangan’ di rumah yang menguruskan semua wang tersebut. Bagi masyarakat Jepun, wanita tidak rugi menjadi suri rumah walaupun berpendidikan tinggi kerana mereka percaya bahawa pendidikan tinggi amat penting dalam mendidik anak-anak di rumah. Persoalannya, adakah situasi kekeluargaan di Jepun sama seperti di Malaysia? 

Dari satu sudut yang lain, ada segolongan wanita yang berpendapatan rendah melihat bahawa pemberhentian kerja merupakan suatu penjimatan terutamanya bagi wanita yang memperoleh gaji di bawah purata. Ini merupakan dilema ketidakseimbangan antara gaji dan kos sara hidup. Misalnya kos menjaga anak di kawasan Lembah Klang dianggarkan RM700 sebulan bagi seorang anak. Jika ada 3 orang anak, kos yang dapat dijimatkan sekitar RM2,100 sebulan. Kos perjalanan ke tempat kerja juga dapat dijimatkan sekitar RM300 bagi perjalanan dari rumah ke tempat kerja yang jaraknya dua kilometer. Begitu juga kos makan di luar dapat dijimatkan sekiranya seseorang wanita menjadi suri rumah di mana mereka dapat memasak sendiri di rumah. Jika kos makan pagi dan tengahari di pejabat sekitar RM20 sehari, di mana ianya memakan kos sebanyak RM440 sebulan berbanding pembelian barang dapur sebanyak itu juga dapat dinikmati oleh beberapa orang di rumah. Kekangan kos kerja berbanding penjimatan kos sebagai suri rumah menyebabkan ramai wanita mengambil keputusan untuk berhenti kerja lebih-lebih lagi ketika menghadapi cabaran peribadi. Ini merupakan kekangan dalam isu gaji rendah di tengah-tengah kos sara hidup yang tinggi dalam suasana ekonomi yang mencabar.

Selain itu, penglibatan wanita dalam ekonomi juga dipengaruhi oleh faktor usia. Menurut kajian pasukan penyelidik dari Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia, kecenderungan untuk bekerja lebih lama melebihi tiga tahun bagi wanita adalah sebanyak 59.6% lebih rendah berbanding lelaki. Kecenderungan untuk tidak mahu bekerja untuk tempoh yang lebih lama adalah mereka dari kumpulan pekerja berkemahiran rendah dan berusia di bawah 60 tahun. Gaji yang rendah di kalangan pekerja kurang mahir membuatkan mereka merasakan tenaga yang dicurahkan untuk bekerja dalam pasaran buruh tidak berbaloi berbanding tenaga yang ditumpukan untuk menguruskan keluarga.

Dari aspek yang lain, terdapat segelintir wanita yang menyesal setelah berhenti kerja kerana tidak lagi mempunyai kebebasan kewangan dan terpaksa bergantung kepada suami. Pelbagai keperluan dan kehendak kehidupan terpaksa dilupakan kerana segala perbelanjaan perlu dicatu ekoran pendapatan hanya dari satu sumber. Walaupun dapat berehat kerana tidak bekerja, namun kesejahteraan kehidupan terjejas kerana keperluan dan kehendak yang tidak dapat dipenuhi untuk hidup bahagia. Oleh itu, wanita harus tahu bahawa sama ada bekerja dan tidak bekerja tetap ada cabarannya. 

Cabaran penat kerana memikul pelbagai tugas atau cabaran tidak mempunyai kebebasan kewangan perlu dipertimbangkan oleh setiap wanita dalam membuat keputusan. Bekerjaya memperolehi wang setiap bulan dan menikmati kehidupan keluarga yang bahagia adalah idaman setiap wanita. Maka kekuatan rohani, mental, emosi, fizikal, dan stamina sangat penting bagi wanita. Sebilangan besar wanita dapat bertahan untuk bekerja kerana mempunyai kebebasan kewangan di mana mereka dapat memenuhi keperluan dan kehendak sendiri sebagai ganjaran timbal balas menjalankan kedua-dua peranan ini. Selain itu, persefahaman dan kerjasama pasangan adalah sangat penting dalam menghargai pengorbanan dan usaha pasangan masing-masing. 

Wanita juga perlu meningkatkan tahap kemahiran dalam bidang yang telah dikuasai dan juga menerokai bidang baru yang relevan dengan keperluan semasa. Misalnya penguasaan kemahiran digital bagi memudahkan pelaksanaan pekerjaan mahupun perniagaan di dalam persekitaran persaingan yang sengit dan mencabar pada masa kini. Teknologi digital dikatakan mampu untuk membantu wanita menyeimbangkan tuntutan kerja dan kehidupan. Namun begitu, ada segolongan wanita yang berpendapat bahawa kemahiran digital bukan sahaja memudahkan pekerjaan, sebalikya ia meningkatkan lagi tuntutan kerja oleh majikan untuk menggalas lebih banyak kerja pejabat. Bahkan mereka terpaksa menyambung kerja di rumah, diberikan kerja pada hujung minggu, dan bekerja lebih masa memandangkan tiada lagi alasan untuk menolak kerja di luar waktu pejabat ekoran kemudahan digital yang ada. Oleh itu, wanita harus bijak menguruskan masa, tenaga, keseimbangan emosi, dan kesediaan mental dalam mengendalikan kerja dan kehidupan dalam cabaran digital.

Wanita harus bijak mengambil peluang dan manfaat yang sedia ada, baik dari segi pendidikan, pekerjaan, perniagaan, dan keluarga. Mereka perlu tahu hak-hak sebagai seorang wanita di samping menyantuni restu suami dan kesejahteraan keluarga agar kehidupan yang bahagia dan berjaya dapat dikecapi. Ini kerana wanita harus bangkit untuk memperkasakan diri baik dalam pendidikan dan pekerjaan mahupun perniagaan kerana kebebasan kewangan bagi wanita adalah sangat penting dalam mendepani situasi ekonomi yang mencabar di samping melahirkan generasi yang berkualiti dari institusi keluarga.

Nota ringkas:

Isu ketidakseimbangan dalam tenaga buruh sering menjadi perdebatan. Ini termasuklah isu tenaga buruh mahir yang dilahirkan dan diserap dalam pasaran buruh sehingga kita terpaksa bergantung dengan warga asing untuk memenuhi keperluan tenaga buruh mahir. Penyelesaian kepada isu ini perlu dilihat secara makro yang memerlukan campur tangan kerajaan dan juga secara mikro iaitu cabaran peribadi individu. Isu wanita dalam tenaga buruh merupakan suatu cabaran kerana cabaran peribadi wanita adalah bergantung kepada kekuatan institusi keluarga itu sendiri.

Share this post:

Related Posts
Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipiscing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore