Kesusasteraan Melayu sebagai Instrumen Dasar Perpaduan Kebangsaan dan Pembinaan Identiti Kebangsaan

Pengenalan: Kesusasteraan Melayu dalam Kerangka Dasar Perpaduan Kebangsan

Dalam konteks semasa, dasar perpaduan negara berdepan cabaran yang semakin mencabar, khususnya akibat polarisasi dan era digital. Media sosial mempercepat penyebaran pandangan yang sempit dan boleh memberi kesan negatif dalam hubungan antara kaum. Walaupun pelbagai dasar ekonomi, sosial dan pendidikan telah dilaksanakan sejak negara merdeka, perubahan cara masyarakat berkomunikasi dan kepelbagaian kaum hari ini memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh dan selaras dengan keadaan semasa.

Sehubungan itu, usaha memperkukuh perpaduan tidak boleh bergantung kepada dasar institusi dan perundangan semata-mata, tetapi perlu disokong oleh pendekatan budaya. Dalam hal ini, kesusasteraan Melayu boleh berperanan sebagai instrumen sokongan dasar perpaduan kebangsaan. Melalui cerita yang memaparkan hubungan antara kaum, konflik sosial dan penyelesaian berasaskan muafakat, sastera membantu membina kefahaman, empati dan rasa kebersamaan (Shamsul Amri Baharuddin, 2012, p. 31-34). Oleh itu, kesusasteraan Melayu wajar dimanfaatkan secara lebih terancang dalam menyokong pelaksanaan dasar perpaduan di Malaysia.

Perpaduan Kebangsaan sebagai Agenda Dasar Berterusan

Malaysia dibina atas asas kepelbagaian etnik, agama dan budaya yang menjadi ciri utama pembentukan negara bangsa. Sejak mencapai kemerdekaan, pelbagai dasar telah diperkenalkan bagi mengukuhkan perpaduan kebangsaan, antaranya ialah Dasar Ekonomi Baru, Rukun Negara dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Secara umumnya, dasar-dasar ini telah menyumbang kepada kestabilan sosial dan mengurangkan sebahagian ketidakseimbangan struktur antara kaum. Namun begitu, perpaduan kebangsaan bukanlah sesuatu yang bersifat tetap atau selesai, sebaliknya perlu dipelihara dan diperkukuh secara berterusan (Shamsul Amri Baharuddin, 2012).

Dalam keadaan semasa, hubungan etnik di Malaysia berhadapan dengan cabaran. Jurang ekonomi yang berterusan, persaingan politik yang yang kadangkala diperngaruhi oleh wacana identiti, serta pengaruh media sosial telah mempercepat penyebaran pandangan yang bersifat sempit dan boleh memecah-belahkan masyarakat (Horowitz, 2000; Putnam, 2007). Media digital hari ini bukan sahaja berfungsi sebagai ruang perbincangan awam, malah turut membentuk cara masyarakat menilai sesuatu isu yang timbul. Sesuatu isu yang timbul boleh melemahkan kepercayaan antara kaum sekiranya tidak diurus dengan baik dan berhemah. 

Sehubungan itu, Shamsul Amri Baharuddin (2012, p. 29-34) turut menegaskan bahawa perpaduan perlu difahami sebagai satu proses sosial yang berterusan. Oleh itu, perpaduan perlu difahami sebagai proses sosial yang berkembang dari masa ke masa melalui pengurusan konflik, pembinaan kepercayaan dan penghayatan nilai bersama. Proses ini menuntut pendekatan yang berterusan dan menyeluruh agar hubungan antara kaum sentiasa dipelihara dan diperkukuh dalam jangka panjang.

Kesusasteraan Melayu sebagai Instrumen Budaya dalam Hubungan Etnik

Kesusasteraan Melayu sejak awal perkembangannya telah berfungsi sebagai cerminan kehidupan masyarakat. Dalam masyarakat majmuk, karya sastera menjadi ruang naratif yang mempertemukan pelbagai latar etnik, bahasa dan budaya. Melalui watak dan peristiwa, pengarang menggambarkan realiti hubungan sosial yang tidak selalu harmoni, tetapi sentiasa bergerak ke arah rundingan dan pemahaman bersama. Laurenson & Swingewood (1972) menegaskan bahawa sastera berfungsi sebagai refleksi sosial yang membolehkan pembaca memahami struktur masyarakat, hubungan kuasa serta konflik yang wujud dalam kehidupan seharian. Kesusasteraan Melayu, khususnya, menyediakan ruang untuk menelusuri pengalaman ini melalui sudut pandang kemanusiaan yang lebih mendalam. 

Berbanding dengan laporan statistik atau slogan dasar perpaduan, karya sastera mengangkat suara, emosi dan dilema watak-watak yang hidup dalam realiti masyarakat berbilang kaum. Pendekatan naratif ini membolehkan pembaca memahami isu hubungan etnik bukan hanya sebagai persoalan struktur sosial, tetapi sebagai pengalaman manusia yang sarat dengan perasaan, konflik dan usaha mencapai persefahaman (Anderson, 2006; Milner, 2011). Misalnya novel Interlok karya Abdullah Hussain (1971) memperlihat bagaimana struktur masyarakat majmuk terbentuk melalui pengalaman hidup watak-watak daripada latar etnik yang berbeza. Melalui kisah Seman, Kim Lock dan Maniam, novel ini tidak sekadar mencatat sejarah, tetapi mengungkapkan emosi, dilema dan konflik identiti yang dialami oleh masyarakat yang berada di pinggir kuasa ekonomi dan politik. Dari sudut perpaduan bangsa, kekuatan sastera terletak pada keupayaannya membina empati dari kalangan pembaca. Empati ini merupakan asas penting kepada keharmonian masyarakat pada jangka panjang.

Naratif Kehidupan Seharian sebagai Medium Pembinaan Hubungan Etnik

Banyak karya kesusasteraan Melayu menampilkan hubungan etnik melalui gambaran kehidupan seharian masyarakat majmuk. Watak-watak daripada latar etnik yang berbeza digambarkan berkongsi ruang sosial yang sama, seperti tempat tinggal, tempat kerja dan persekitaran komuniti, sambil berhadapan dengan konflik kecil, salah faham budaya dan perbezaan nilai. Dalam kesusasteraan, interaksi ini dipaparkan secara naratif, menjadikannya mudah difahami dan dekat dengan pengalaman pembaca. Hashim Awang (1989, p. 72-76) mengatakan bahawa konflik masyarakat yang diketengahkan dalam karya sastera jarang-jarang diperlihatkan secara keterlaluan atau bersifat pertentangan. Sebaliknya konflik yang digambarkan dalam karya sastera dipaparkan sebagai situasi yang dapat diselesaikan melalui dialog, toleransi dan sikap saling menghormati. Perkara ini sekali gus mencerminkan nilai keharmonian dalam kehidupan bersama. 

Dalam konteks ini, kesusasteraan memainkan peranan penting sebagai medium budaya yang memaparkan realiti kehidupan seharian masyarakat. Melalui naratif tentang keluarga, kejiranan, tempat kerja dan ruang awam, karya sastera menggambarkan bagaimana individu daripada latar etnik dan budaya yang berbeza berinteraksi. Mereka berunding dan menyelesaikan konflik kecil secara beransur-ansur. Gambaran ini memperlihat bahawa perpaduan bukan hasil campur tangan dasar semata-mata, tetapi terbina melalui sikap toleransi, empati dan saling memahami dalam hubungan sosial sehari-hari (Laurenson & Swingewood, 1972, p. 13–18).

Kesusasteraan, dalam hal ini, boleh difahami sebagai sejenis “panduan sosial” yang tidak formal. Ia tidak menetapkan peraturan secara langsung seperti dasar atau undang-undang, namun membimbing pembaca melalui contoh, pengalaman dan emosi watak-watak yang dihadirkan. Daripada penceritaan, pembaca belajar memahami perbezaan, mengenali konflik budaya dan menilai cara penyelesaian yang berlandaskan dialog serta rasa kemanusiaan. Pendekatan naratif ini menjadikan nilai perpaduan lebih mudah dihayati kerana disampaikan menerusi pengalaman yang hampir dengan kehidupan sebenar (Anderson, 2006, p. 6-7).

Rumusannya, naratif kehidupan seharian dalam kesusasteraan Melayu dapat dilihat sebagai tapak pelaksanaan dasar sosial yang membina perpaduan dari peringkat akar umbi. Melalui gambaran pengalaman masyarakat, sastera membentuk kesedaran sosial, empati dan imaginasi kebangsaan yang memperkukuh kepercayaan sosial antara kaum. Dari perspektif dasar, pendekatan ini penting kerana ia menyokong pembinaan perpaduan bukan melalui paksaan atau retorik semata-mata, tetapi melalui penghayatan nilai dan makna bersama yang lahir daripada realiti kehidupan masyarakat. Dengan kata lain, kesusasteraan membantu menjadikan perpaduan sebagai amalan harian yang tumbuh secara semula jadi dalam komuniti, sekali gus memperkukuh asas sosial negara secara berterusan.

Pengurusan Konfllik dan Muafakat Sosial melalui Kesusasteraan

Konflik merupakan unsur yang penting dalam kesusasteraan dan juga dalam hubungan antara kaum. Karya kesusasteraan Melayu tidak menolak kewujudan konflik antara etnik. Sebaliknya karya sastera menggambarkannya sebagai sebahagian daripada realiti kehidupan masyarakat yang perlu ditangani dan diurus, bukannya dielakkan. Konflik yang dipaparkan dalam karya sastera lazimnya berpunca daripada prasangka, salah faham atau ketidakseimbangan kuasa. Namun begitu, penyelesaian konflik sering menekankan nilai muafakat, keadilan dan keharmonian hidup bersama.

Menurut Coser (1956), konflik sosial tidak semestinya membawa kepada perpecahan sekiranya diuruskan melalui mekanisme yang membolehkan penyesuaian, rundingan dan pengukuhan struktur sosial sedia ada. Dalam konteks ini, kesusasteraan Melayu memaparkan mekanisme pengurusan konflik tersebut melalui naratif perdamaian, pengorbanan dan kesedaran bersama dalam kehidupan masyarakat. Dari sudut perpaduan bangsa, mesej ini penting kerana membentuk kefahaman bahawa konflik etnik bukan semata-mata ancaman kepada keharmonian, sebaliknya boleh menjadi ruang pembelajaran sosial dan pembaikan hubungan antara ahli masyarakat.

Secara keseluruhannya, kesusasteraan Melayu menampilkan konflik sebagai sebahagian daripada realiti kehidupan masyarakat majmuk yang perlu diuruskan dengan bijaksana. Konflik yang berkait dengan persepsi ketidakseimbangan struktur sosial digambarkan secara berhemah, dengan penekanan terhadap penyelesaian berasaskan muafakat, keadilan dan keharmonian. Selari dengan pandangan Coser (1956), sastera menunjukkan bahawa konflik etnik tidak semestinya membawa perpecahan jika diurus dengan bijaksana. Dalam hal ini, karya sastera berfungsi sebagai ruang pembelajaran sosial dan simulasi nilai, di mana pembaca dapat menelusuri situasi konflik, menilai pilihan tindakan dan memahami akibatnya tanpa mengalami risiko sebenar. Melalui pengalaman naratif ini, sastera membantu membina kefahaman, memperkukuh kepercayaan sosial dan memupuk kemahiran mengurus perbezaan sebagai asas kepada perpaduan bangsa yang lebih matang dan berdaya tahan.

Kesusasteraan Melayu dan Pembinaan Identiti Kebangsaan

Identiti kebangsaan dalam masyarakat majmuk tidak terbentuk secara semula jadi, sebaliknya dibina melalui proses sosial dan budaya yang berterusan. Kajian kontemporari menegaskan bahawa identiti kebangsaan terbentuk melalui perkongsian naratif, simbol dan pengalaman bersama yang dihayati secara kolektif oleh masyarakat, terutamanya melalui medium budaya dan pendidikan (UNESCO, 2022, p. 18-21). Proses ini menjadi semakin penting dalam masyarakat berbilang etnik yang berdepan cabaran jurang identiti dan perbezaan budaya.

Dalam konteks Malaysia, kesusasteraan Melayu berperanan sebagai salah satu medium budaya yang signifikan dalam menyumbang kepada pembinaan identiti kebangsaan. Selari dengan Dasar Perpaduan Negara, pendekatan berasaskan budaya seperti sastera dilihat mampu membentuk kefahaman, empati dan nilai kebersamaan dalam kalangan rakyat melalui naratif yang dekat dengan pengalaman kehidupan seharian (Kementerian Perpaduan Negara, 2021, p. 7-10). Kesusasteraan berfungsi bukan sahaja sebagai karya kreatif, tetapi juga sebagai ruang pemaknaan sosial yang menghubungkan pengalaman masyarakat pelbagai etnik dalam satu kerangka kebangsaan.

Melalui penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kesusasteraan menyediakan medium komunikasi bersama yang dapat merentas sempadan etnik dan latar budaya. Naratif sastera menggabungkan pengalaman yang berbeza dalam wacana kebangsaan yang dikongsi, sekali gus membantu membentuk identiti kebangsaan yang bersifat menyeluruh dan merangkumi kepelbagaian masyarakat, bukannya bersifat eksklusif atau meminggirkan kumpulan tertentu (Maznida Mahadi et al., 2024). Dengan cara ini, kesusasteraan Melayu menyumbang secara langsung kepada usaha memperkukuh perpaduan dan kefahaman antara kaum dalam masyarakat majmuk Malaysia.

Secara ringkas, identiti kebangsaan dalam masyarakat majmuk terbentuk melalui proses sosial dan budaya yang berterusan, khususnya melalui perkongsian pengalaman dan nilai bersama. Dalam konteks dasar, pembinaan identiti kebangsaan perlu dilihat sebagai satu bentuk intervensi yang disengajakan bagi memperkukuh perpaduan dan mengurus kepelbagaian secara harmoni. Kesusasteraan Melayu berperanan sebagai medium penyatuan naratif nasional dengan menghubungkan pengalaman pelbagai etnik melalui bahasa kebangsaan dan cerita yang dikongsi bersama. Melalui naratif ini, sastera membantu membina kefahaman, empati dan rasa kebersamaan, sekali gus menyokong usaha negara membentuk identiti kebangsaan yang menyatukan dan berdaya tahan dalam jangka panjang. 

Etika, Nilai Kemanusiaan dan Perpaduan Kebangsaan

Perpaduan bangsa tidak dapat dipisahkan daripada nilai etika dan kemanusiaan. Kesusasteraan Melayu sentiasa mengangkat nilai empati, keadilan, ihsan dan tanggungjawab sosial sebagai asas kehidupan bersama. Nilai-nilai ini merentas batas etnik dan agama, menjadikannya titik temu dalam masyarakat majmuk. Kesusasteraan Melayu tidak menyampaikan nilai etika secara bersifat mengarah atau normatif, sebaliknya membentuk kesedaran pembaca melalui penceritaan, pengalaman watak dan konflik moral yang dekat dengan realiti kehidupan seharian. Shahnon Ahmad (1986, p. 15-18) menegaskan bahawa kesusasteraan memiliki kekuatan moral untuk membentuk kepekaan etika dan kesedaran kemanusiaan pembaca, kerana nilai-nilai tersebut dihayati melalui pengalaman emosi dan refleksi, bukan sekadar penerimaan rasional semata-mata. Dalam konteks hubungan etnik, pendekatan ini membantu pembaca memahami perasaan dan pengalaman pihak lain. Seterusnya pendekatan ini dapat mengurangkan prasangka serta memupuk sikap saling menghormati.

Dari sudut dasar, pembentukan nilai etika dan kemanusiaan melalui sastera menyumbang kepada kelestarian perpaduan sosial melengkapi pendekatan perundangan dan institusi yang sedia ada. Hal ini selari dengan pendekatan Dasar Perpaduan Negara yang menekankan pembinaan nilai, empati dan kefahaman antara kaum sebagai asas kepada perpaduan jangka panjang (Kementerian Perpaduan Negara, 2021, p. 7-10). Oleh itu, kesusasteraan Melayu bukan sahaja berfungsi sebagai karya kreatif, tetapi juga sebagai wahana pendidikan sosial yang membentuk sikap beretika dan nilai kemanusiaan dalam kalangan masyarakat.

Oleh yang demikian, kesusasteraan Melayu memainkan peranan penting dalam membina perpaduan bangsa melalui penanaman nilai etika dan kemanusiaan seperti empati, keadilan dan tanggungjawab sosial. Nilai-nilai ini bukan sahaja membentuk sikap individu, malah menyumbang kepada pelestarian dasar perpaduan dalam jangka panjang kerana perpaduan yang kukuh bertunjangkan penghayatan nilai bersama, bukan sekadar kepatuhan terhadap peraturan. Melalui penceritaan dan pengalaman watak yang dekat dengan kehidupan seharian, sastera membina kesedaran etika serta mengurangkan prasangka antara kaum secara beransur-ansur. Pendekatan ini selari dengan konsep tadbir urus berasaskan nilai (value-based governance), yang menekankan pembentukan kepercayaan sosial dan tanggungjawab bersama tanpa bergantung sepenuhnya kepada paksaan perundangan atau kawalan institusi semata-mata.

Implikasi Dasar: Pengarusperdanakan Kesusasteraan dalam Dasar Perpaduan Kebangsaan

Berdasarkan perbincangan yang telah dikemukakan, terdapat beberapa implikasi dasar penting yang wajar dipertimbangkan dalam usaha memperkukuh perpaduan kebangsaan. Pertama, kesusasteraan Melayu perlu diarusperdanakan sebagai komponen strategik dalam pendidikan sivik, pengajaran dan pembelajaran mengenai hubungan etnik. Pendedahan berterusan melalui karya sastera yang mengangkat pengalaman masyarakat majmuk dapat membantu pelajar atau masyarakat dalam memahami kepelbagaian sosial secara lebih dekat dan mendalam, bukan sekadar melalui pendekatan fakta atau peraturan normatif (UNESCO, 2022, p. 24-28).

Kedua, naratif sastera wajar dimanfaatkan dalam komunikasi dasar awam sebagai medium yang mampu menyampaikan mesej perpaduan secara lebih berkesan dan berperikemanusiaan. Berbanding dengan penyampaian dasar yang bersifat teknikal atau retorik formal, penceritaan sastera dapat membina kefahaman masyarakat melalui pengalaman, emosi dan situasi yang dekat dengan kehidupan seharian. Kajian mutakhir menunjukkan bahawa pendekatan naratif dan budaya mempunyai keupayaan yang lebih tinggi untuk membentuk empati sosial serta mengurangkan jurang kefahaman antara kumpulan dalam masyarakat berbilang budaya (Nussbaum, 2021).

Ketiga, sokongan terhadap ekosistem penerbitan dan penghasilan karya sastera yang mengangkat kepelbagaian etnik, budaya dan pengalaman hidup masyarakat Malaysia perlu diperkukuh secara berterusan. Langkah ini bukan sahaja memperkaya wacana kebangsaan, malah menyumbang kepada pembinaan imaginasi kolektif yang lebih menyeluruh dan inklusif. Selari dengan Dasar Perpaduan Negara, pengukuhan sektor budaya dan sastera dapat berfungsi sebagai pelengkap kepada pendekatan ekonomi dan institusi dalam membina perpaduan dalam jangka panjang (Kementerian Perpaduan Negara, 2021, p. 7-10).

Selaras dengan Rancangan Malaysia (RMK), Dasar Perpaduan Negara dan gagasan Malaysia MADANI, pengarusperdanaan kesusasteraan Melayu perlu dilaksanakan secara terancang melalui kerjasama KPM, Kementerian Perpaduan Negara, MOTAC, DBP dan institusi pendidikan. Kesusasteraan boleh diintegrasikan dalam kurikulum sivik, latihan guru, program komuniti serta kempen perpaduan di sekolah, universiti dan platform digital. Sokongan melalui geran, insentif penerbitan dan adaptasi digital dapat memperluas mesej perpaduan, sekali gus membina empati, kepercayaan sosial dan identiti kebangsaan secara berterusan dalam masyarakat majmuk era digital.

Kesimpulan: Strategik Dasar Perpaduan Berasaskan Budaya

Kesimpulannya, kesusasteraan Melayu mempunyai nilai tambah yang signifikan sebagai instrumen sokongan dasar perpaduan kerana ia membina empati, kefahaman dan rasa kebersamaan secara mendalam dan berjangka panjang. Berbanding pendekatan ekonomi dan perundangan semata-mata, pendekatan budaya melalui sastera memperkukuh asas sosial dengan membentuk nilai dan kepercayaan antara kaum. Oleh itu, pengintegrasian karya sastera dalam pendidikan, komunikasi dasar awam dan pembangunan ekosistem penerbitan wajar dijadikan strategi pelengkap dalam kerangka hala tuju nasional. Pendekatan ini menyokong agenda pembangunan sosial jangka panjang negara dengan memastikan perpaduan kebangsaan dibina bukan sahaja melalui struktur dan peraturan, tetapi melalui penghayatan nilai kemanusiaan bersama yang berterusan dan lestari.

Rujukan

Abdullah Hussain. (1971). Interlok. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abdul Rahman, A., & Zawawi, I. (2020). Naratif sastera dan pembinaan empati sosial dalam masyarakat majmuk. Jurnal Pengajian Melayu, 31(2), 101-120.

Kementerian Perpaduan Negara. (2021). Dasar perpaduan negara. Putrajaya: Kerajaan Malaysia.

Smith, A. D. (2020). National identity (2nd ed.). Reno, Nevada: University of Nevada Press.

UNESCO. (2022). Reimagining our futures together: A new social contract for education. Paris: UNESCO Publishing.

Allport, G. W. (1954). The nature of prejudice. Massachusetts: Addison-Wesley.

Anderson, B. (1991). Imagined communities: Reflections on the origin and spread of nationalism. London: Verso.

Awang Sariyan. (2015). Bahasa Melayu sebagai bahasa peradaban. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Coser, L. A. (1956). The functions of social conflict. New York: The Free Press.

Laurenson, D., & Swingewood, A. (1972). The sociology of literature. Paladin.
Shahnon Ahmad. (1986). Kesusasteraan dan etika Islam. Petaling Jaya: Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Anderson, B. (2006). Imagined communities: Reflections on the origin and spread of nationalism (Rev. ed.). London: Verso.

Horowitz, D. L. (2000). Ethnic groups in conflict (2nd ed.). Berkeley: University of California Press.

Milner, A. (2011). The Malays. Oxford: Wiley-Blackwell.

Maznida Mahadi et al. (2024). Representasi Hubungan Etnik dalam Novel Remaja dari Perspektif Etika Sosiobudaya. Pertanika Journal of Social Science & Humanities, 32 (S2), 17-36. http://www.pertanika.upm.edu.my/resources/files/Pertanika%20PAPERS/JSSH%20Vol.%2032%20(S2)%202024/02%20JSSH(S)-1556-2024.pdf

Putnam, R. D. (2007). E pluribus unum: Diversity and community in the twenty-first century. Scandinavian Political Studies, 30(2), 137-174. https://doi.org/10.1111/j.1467-9477.2007.00176.x

Shamsul Amri Baharuddin. (2012). Modul hubungan etnik. Bangi: Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia.

Author

Profesor Madya Dr. Tengku Intan Marlina Tengku Mohd. Ali

Share this post:

Related Posts
Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipiscing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore