1.0 Pengenalan
Pada 1 Oktober 2026 Institut SEDAR menganjurkan satu program Webinar yang bertajuk “ADUN Lantikan: Kewajaran ADUN Lantikan dalam Sistem Legislatif Malaysia”. Program ini menampilkan dua orang ahli panel yang dihormati, iaitu Dr Lau Zhe Wei (Penolong Profesor di Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani, UIAM) dan Sdr. Asraf Sharafi Mohd Azhar [Pengarah Eksekutif Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH)]. Webinar ini telah disertai seramai 38 peserta.
Perbincangan tersebut memberi tumpuan kepada isu kepakaran, representasi golongan kurang diwakili, mandat rakyat, legitimasi demokrasi dan pengaruh politik. Secara keseluruhannya, webinar ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman peserta mengenai ADUN Lantikan, membincangkan kelebihan dan kelemahannya dari sudut demokrasi dan tadbir urus, serta menggalakkan perbincangan mengenai keperluan reformasi terhadap mekanisme tersebut.
2.0 Isu dan Perbincangan Utama
2.1 Tujuan dan Justifikasi ADUN Lantikan
Perbincangan awal menekankan bahawa ADUN Lantikan sepatutnya mempunyai justifikasi yang jelas dan perlu berfungsi sebagai satu bentuk pengecualian dalam sistem demokrasi. Dr. Lau berpandangan bahawa dalam demokrasi moden, kepentingan kumpulan minoriti perlu diberi perhatian kerana sistem pilihan raya tidak semestinya menghasilkan representasi yang mencerminkan semua kelompok masyarakat.
Sdr. Asraf turut menegaskan bahawa ADUN Lantikan sepatutnya menjadi satu bentuk pengecualian dan bukan mekanisme biasa untuk memberi ‘kerusi bonus’ dalam Dewan Undangan Negeri (DUN). Beliau turut membangkitkan persoalan bahawa wakil yang dilantik tidak mempunyai mandat secara langsung daripada rakyat dan oleh itu tidak mempunyai bentuk akauntabiliti yang sama seperti ADUN yang dipilih.
2.2 Perbezaan Pelaksanaan Antara Negeri
Satu lagi isu yang dibincangkan ialah perbezaan bilangan dan fungsi ADUN Lantikan antara negeri. Berdasarkan bahan program, Melaka mempunyai maksimum tujuh ADUN Lantikan, Sabah enam, Pahang dan Johor lima, manakala Terengganu empat. Perbezaan tersebut menunjukkan bahawa pelaksanaan ADUN Lantikan bergantung kepada kerangka undang-undang negeri yang dirangka oleh negeri masing-masing.
Sdr. Asraf mempersoalkan justifikasi perbezaan jumlah tersebut dan menegaskan bahawa alasan seperti saiz geografi semata-mata tidak mencukupi kerana ADUN mewakili komuniti, bukan kawasan fizikal semata-mata. Pada masa yang sama, Dr. Lau tidak menyimpulkan bahawa semua negeri perlu menggunakan model yang sama, sebaliknya menekankan keperluan justifikasi yang jelas bagi setiap mekanisme pelantikan ADUN.
2.3 Kepakaran sebagai Asas Pelantikan
Kepakaran berkait rapat dengan kewujudan ADUN Lantikan. Hal ini kerana permasalahan sering timbul dalam mengenal pasti dan menentukan kerelevanan kepakaran tersebut.
Sdr. Asraf memberi pandangan bahawa kecenderungan dalam pemilihan ADUN Lantikan hari ini adalah berdasarkan kepentingan politik dan bukannya melihat kepada kepakaran ataupun teknokrat. Dr. Lau menekankan bahawa kriteria yang terlalu longgar boleh membuka ruang kepada penyalahgunaan, manakala kriteria yang terlalu ketat pula boleh menyukarkan proses pemilihan calon yang sesuai.
Antara cadangan yang dikemukakan ialah menetapkan kriteria ketat agar individu yang dilantik memiliki kepakaran relevan dan bukan sekadar latar belakang politik. Dr. Lau turut mencadangkan model pilihan raya functional constituencies seperti di Hong Kong, di mana badan profesional seperti sektor kesihatan memilih wakil Parlimen berdasarkan kepakaran bidang dan bukannya menerusi pelantikan politik.
2.4 Representasi Golongan Minoriti
ADUN Lantikan turut dikaitkan dengan mekanisme yang berpotensi memberi ruang kepada kumpulan yang kurang mendapat representasi melalui pilihan raya. Antaranya termasuk wanita, belia, Orang Asli, Orang Kurang Upaya (OKU) dan kumpulan minoriti lain.
Walau bagaimanapun, perbincangan mendapati bahawa tujuan asal ADUN Lantikan untuk mewakili kumpulan minoriti tidak tercapai pada praktiknya akibat desakan kepentingan politik.
Ahli – ahli panel mencadangkan bahawa sekiranya representasi minoriti merupakan objektif utama, kriteria khusus perlu diwujudkan. Sebagai contoh, satu kerusi boleh diperuntukkan secara khusus kepada kumpulan yang dikenal pasti kurang diwakili. Dengan cara ini, tujuan pelantikan menjadi lebih jelas dan ruang penyalahgunaan budi bicara dapat dikurangkan.
2.5 Risiko Pengaruh Politik
Peranan ADUN Lantikan bukan sahaja membawa kepakaran dan pandangan ke dalam Dewan, tetapi turut melibatkan proses membuat keputusan legislatif melalui hak mengundi. Dr. Lau menjelaskan bahawa jika kepakaran menjadi asas pelantikan, peranan dan mandat mereka perlu jelas. Isu ini lebih ketara di Sabah kerana ADUN Lantikan turut mempunyai hak mengundi di dalam Dewan Undangan Negeri.
Kemungkinan berlaku political patronage turut diberi perhatian, khususnya apabila individu yang mempunyai latar belakang politik – dilantik oleh pihak pemerintah. Sdr. Asraf berhujah bahawa keadaan ini boleh menimbulkan persepsi bahawa pelantikan mempunyai kaitan dengan ganjaran politik. Dr. Lau pula menekankan bahawa hubungan langsung dengan struktur politik boleh menimbulkan persoalan terhadap tujuan sebenar pelantikan.
Secara keseluruhannya, pelantikan ADUN perlu disokong oleh kriteria yang jelas dan ketat bagi mengurangkan ruang kepada pengaruh politik. Pada masa yang sama, kuasa mengundi yang diberikan perlu selaras dengan peranan dan tujuan pelantikan supaya prinsip perwakilan dan akauntabiliti kepada rakyat dapat dipelihara.
3.0 Sesi Soal Jawab (Q&A)
Sesi soal jawab turut menyentuh isu mandat rakyat, khususnya berkaitan pelantikan individu yang tewas dalam pilihan raya sebagai ADUN Lantikan. Dr. Lau berpandangan bahawa pelantikan sedemikian wajar dielakkan kecuali dalam keadaan yang benar-benar diperlukan, manakala Sdr. Asraf menyatakan bahawa ia boleh menimbulkan keraguan terhadap prinsip demokrasi perwakilan. Dari aspek mekanisme pelantikan, turut ditekankan keperluan kawalan yang lebih jelas serta penetapan kuota bagi memastikan pelantikan dapat mewakili suara rakyat dengan lebih baik.
Mengenai cadangan pelaksanaan sesi pendengaran pengesahan (confirmation hearing) secara dwipartisan, Dr. Lau menjelaskan bahawa dalam sistem Westminster, kuasa pelantikan masih berada pada ketua negeri. Namun, sesi ini boleh membantu meningkatkan ketelusan kerana calon yang dilantik dapat dinilai secara terbuka, termasuk dari segi kelayakan dan penapisan kemungkinan wujudnya kepentingan politik. Sdr. Asraf berpendapat bahawa peranan DUN adalah terhad kepada fungsi penyaringan dan penilaian telus, sementara kuasa pelantikan kekal di tangan ketua eksekutif negeri.
Mengenai persoalan pencalonan ADUN Lantikan melalui badan bebas, Dr. Lau menyokong idea tersebut tetapi mempersoalkan kebolehlaksanaannya di Malaysia. Beliau mengambil contoh Independent Commission Against Corruption (ICAC) di Hong Kong yang beroperasi secara bebas daripada pengaruh politik. Menurut beliau, kewujudan pengaruh politik boleh menjadi cabaran kepada pembentukan badan yang benar-benar bebas di Malaysia.
Akhir sekali, berhubung perbandingan sistem Perwakilan Berkadar (Proportional Representation) sebagai alternatif yang lebih demokratik berbanding ADUN Lantikan, kedua-dua panelis bersetuju bahawa sistem tersebut adalah jauh lebih baik kerana ia memberikan mandat langsung daripada rakyat serta membuka ruang yang adil kepada parti kecil, golongan muda, dan kumpulan minoriti yang munasabah untuk terwakili di dalam dewan. Namun perlu ditegaskan, kedua panelis merasakan penukaran sistem adalah tidak wajar, dan perlu untuk memperkukuhkan sistem yang sedia ada.
4.0 Penutup
Sesi diakhiri dengan persetujuan panelis bahawa pelantikan ADUN Lantikan iaitu politik tanpa undi, bercanggah dengan prinsip demokrasi perwakilan dan memerlukan kawalan ketat. Sebaliknya, cadangan seperti penambahan kerusi dalam DUN dilihat lebih sesuai berbanding melantik ADUN kerana menjamin mandat langsung rakyat.