Majlis Media Malaysia: Memperkasa Kebebasan Media dan Mengimbangi Peranan Autoriti Tradisional

Pengenalan

Sejarah industri media terutama bidang kewartawanan di Malaysia kini berusia lebih 200 tahun. Kedua-duanya mempunyai peranan signifikan dalam menterjemahkan pembangunan sebenar kewartawanan. Akhbar pertama di Malaysia diterbitkan pada tahun 1806 (Hasim, 1996) dan dengan mengambil kira lebih 200 tahun kewujudannya, rakyat Malaysia telah menyaksikan kira-kira 10 generasi wartawan dengan perubahan yang besar dalam semua aspek; dari segi politik, ekonomi dan teknologi. Meskipun dunia kewartawanan sudah bermula sebelum kedatangan British, tetapi undang-undang ketika itu dan kini mempunyai kaitan apabila melihat kebebasan jitu sebelum negara memperoleh kemerdekaan pada tahun 1957 dan pembentukan Persekutuan Malaysia enam tahun kemudian. 

Sektor media di Malaysia sebagaimana bidang-bidang lain telah dan sedang berkembang dalam persekitaran digital yang semakin kompetitif dan pantas. Pun begitu, satu aspek yang lazim mendapat perhatian dan menjadi intipati polemik ialah kebebasan media. Sebagaimana ditegaskan oleh Centre for Independent Journalism Malaysia (2025), kebebasan media terus terbantut disebabkan oleh jangkauan perundangan yang keterlaluan, penguatkuasaan terpilih, tekanan ekonomi, dan memburukkan lagi penapisan kendiri. Malah menurut badan itu, pelaporan yang beretika dan sensasional menjejaskan lagi kewartawanan bertanggungjawab, terutamanya dalam bidang sensitif seperti gender, kaum, agama dan isu migran.

Pada 24 Februari 2025, industri media di Malaysia melakar sejarah apabila mencapai satu tuntutan amat penting selama lima dekad untuk melihat kewujudan Majlis Media Malaysia (MMM). Tuntutan yang dibangkitkan untuk melihat dunia media di negara ini menikmati kebebasan sebenar, di sebalik kawalan ke atas media dalam pelbagai bentuk, sama ada seacara perundangan mahupun pemilikan oleh parti dan kerajaan yang memerintah. Ramai berpandangan bahawa dunia media bebas dan dapat bergerak dengan bebas di peringkat awal negara merdeka, tetapi ia merosot secara berfasa berikutan dua kawalan itu, secara langsung dan secara tidak langsung. Pihak mengamal media menerusi pelbagai platform cuba untuk mengembalikan kebebasan yang pernah dinikmati menerusi pembentukan MMM. Rang Undang-undang MMM 2024 telah diluluskan oleh Parlimen (Idris & Ibrahim, 2024). Pada suku pertama 2024, kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara memberi lampu hijau, sekali gus membuka laluan kepada proses warta dan penubuhannya secara formal.

Evolusi Industri Media dan Keperluan Kawalan Kendiri

Kedua-dua kewartawanan dan wartawan, sama ada secara langsung atau secara tidak langsung, mempunyai ‘hubungan’ yang amat rapat dengan setiap bahagian kehidupan kita (Stovall, 2005), berkomunikasi dengan orang ramai dalam bentuk produk atau perkhidmatan berita atau pelbagai bentuk rencana. Istilah kewartawanan dan wartawan pernah digunakan secara silih berganti dalam industri akhbar, kemudian dalam perniagaan media cetak apabila penerbitan majalah muncul, dan diikuti oleh media massa secara umum, kerana medium baharu dan media terkini dicipta termasuk media elektronik pada awal abad lalu dan telefon bimbit dan internet pada pertengahan 1990-an dan seterusnya berkembang dalam bentuk multimedia dalam talian dan media sosial pada hari ini, yang turut dibantu, disokong dan dipengaruhi atau dikawal oleh teknologi kecerdasan buatan (AI), yang bukan sahaja menjadi alat yang membantu tetapi juga menjadi cabaran besar ke atas amalan kewartawanan dan wartawan. 

Dalam erti kata lain, skop kedua-dua istilah itu berkembang serentak dengan aliran kemajuan teknologi. Ahli sosiologi membahagikan wartawan akhbar kepada dua kategori: pengumpul dan pemproses (Hodgson, 1987). Wartawan menentukan apa itu berita, dan di mana hendak mendapatkan dan bagaimana untuk mendapatkan maklumat untuk menulis berita. Harris dan Lester (2002) menyebut bahawa wartawan dan editor mempertimbangkan beberapa faktor berkaitan seperti jarak, impak dan minat apabila membuat keputusan tentang liputan. Dengan berbuat demikian, mereka juga membuat banyak keputusan penting tentang apa yang dikatakan oleh masyarakat kepada dirinya sendiri, bagaimana ia menjelaskan dirinya sendiri, susunan sosial yang diwujudkan dan dikekalkan, dan masalah serta kekurangan masyarakat didedahkan. Kewartawanan juga ditakrifkan secara lebih luas sebagai aktiviti atau tanggungjawab dalam mengejar kebenaran.

Di sebalik definisi tentang kewartawan, dan peranan dan tanggungjawab para wartawanan, kebebasan harus mereka nikmati, dan diberikan kepada wartawan, malah sentiasa  menjadi isu utama. Bermakna wartawan dan kebebasan yang harus ada pada mereka tidak boleh dipisahkan. Media Freedom (2026) mendefinisikan keupayaan wartawan untuk melaporkan secara bebas mengenai segala perkara berkaitan dengan kepentingan awam merupakan indikator penting bagi amalan prinsip demokrasi secara efektif. Kebebasan media dianggap sebagai salah satu prasyarat paling penting untuk setiap demokrasi yang sihat (Maniou & Papadopoulou (2024), dan kini merupakan masa yang sangat mencabar untuk media di seluruh dunia (Media Freedom Coalition, 2024). Bukan sahaja kebebasan tetapi juga keselamatan diri mereka.

Oleh itu, tidak dapat dinafikan bahawa soal kebebasan media merupakan satu topik yang amat penting di setiap negara berdemokrasi, termasuk di Malaysia, yang turut membawa kepada keperluan pembentukan MMM. Lipatan sejarah menunjukkan lebih empat dekad lamanya usaha untuk menubuhkan sebuah majlis media di Malaysia telah menemui jalan buntu disebabkan beberapa faktor. Pihak media melihat usaha itu sebagai berkemungkinan menjadi satu lagi alat untuk mengawal media oleh pihak kerajaan. Wujud senario turun naik dalam usaha memperjuangkan keperluan diadakan MMM khusus untuk industri media (pada awal perjuangan dikenali sebagai Majlis Akhbar).  Walaupun idea berkenaan dikemukakan pada awal 1970-an pada satu persidangan media, tetapi sambutan lebih bersifat bercampur-campur. Negara berhadapan dengan dua bentuk tanggapan. 

Pihak wartawan dan media bertanggapan bahawa mereka akan terus dikawal oleh kerajaan, yang ditanggap sebagai mahu mengekalkan kawalan dan pengaruh ke atas media dan wartawan kerana bimbang pembentukan Majlis Media akan memberikan mereka kebebasan mutlak yang tidak boleh dikawal. Ia menjadi halangan kepada kelahiran Majlis Media di peringkat awal. Usaha itu akhirnya menjadi kenyataan semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menerusi manifesto Pakatan Harapan (PH), yang turut menyaksikan landskap politik berubah tangan dan kejatuhan kerajaan Barisan Nasional, yang memegang kuat kuasa politik dua pertiga di Parlimen dan hampir kesemua negeri (sehingga tahun 2008).

Kita perlu mengakui bahawa perubahan landskap politik turut membawa kepada perubahan pemikiran, tanggapan dan kuasa kawalan total ke atas media. Parti-parti politik utama Barisan Nasional juga melepaskan pegangan kuasa ekonomi ke atas organisasi media. Teori Politik Ekonomi mencerminkan parti-parti politik beranggapan penguasaan media penting untuk membentuk naratif demi kekal menguasai dan mempengaruhi pengundi mereka buat selama-lamanya. Usaha untuk menubuhkan MMM telah mendapat tentangan yang serupa jika tidak ada langkah di pihak kerajaan untuk melonggar beberapa peruntukan undang-undang yang dilihat sebagai mengongkong media (Institut Akhbar Malaysia, n.d). Pada hari ini, di seluruh dunia terdapat kira-kira 50 jenis badan yang memainkan peranan majlis media – yang dikenali sebagai press ambudsman,  majlis akhbar,  majlis media,  suruhanjaya aduan media,  dan suruhanjaya media. Di Malaysia, banyak undang-undang dianggap mengawal dan mengongkong organisasi media dan wartawan yang menganggotai mereka, termasuklah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Rahsia Rasmi.  

Kedua-dua akta tersebut sering dianggap memberikan implikasi serius kepada wartawan dan media. Tulisan ini dibawa untuk melihat sama ada MMM benar-benar akan efektif dalam menterjemahkan matlamat dan fungsi penubuhannya. Perkembangan dan kemunculan banyak isu dalam industri media kebelakangan ini mencetuskan lebih banyak persoalan tentang kemungkinan itu. Dua kes klasik ialah siasatan pihak berkuasa ke atas wartawan Free Malaysia Today (Johari, 2026) pada bulan Januari 2026 berhubung soalan yang ditanya pada satu majlis, dan intimidasi ke atas seorang wartawan pada majlis dihadiri seorang menteri (Osman, 2026).

Proses Legislasi dan Penginstitusian Majlis Media Malaysia

Pada hari ini, harapan atau tuntutan akan keperluan sebuah Majlis Media telah pun tercapai. Sudah menjadi satu realiti, menerusi penguatkuasaan Akta MMM 2024. Bukan satu perjalanan mudah, tetapi pencapaian yang amat bermakna, bukan sahaja bagi pengamal media, tetapi juga kepada seluruh rakyat Malaysia. Pastinya kesemua lapisan masyarakat akan menikmati manfaat daripada MMM.

Cadangan penubuhan sebuah jawatankuasa atau organisasi bagi menyelaraskan urus tadbir industri media di Malaysia telah dicetuskan pada 1973 oleh Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak ketika berucap merasmikan satu persidangan media. Sejak itu, cadangan tersebut melalui pasang surut dan cergas sunyi meskipun kerajaan menerima pelbagai cadangan daripada industri media dari semasa ke semasa, termasuk kertas cadangan telah disediakan oleh MPI dua dekad lalu. Malah, perkara ini telah dimasukkan ke dalam manifesto pilihan raya untuk memberikan kebebasan sebenar untuk industri media. Seterusnya, memorandum untuk menubuhkan MMM dikemukakan ke Jemaah Menteri dan diluluskan pada 6 Disember 2019, setahun selepas PRU14, dan telah melalui beberapa siri proses seterusnya sehinggalah ia diluluskan oleh Parlimen awal tahun 2025. 

Detik bersejarah (Mutalib, 2025) pada 24 Februari 2025 menandakan perjuangan memerdekakan industri media daripada kawalan pihak berkuasa. Di sebalik kerangka perundangan dalam bentuk beberapa akta yang ada di Malaysia, bersifat secara langsung dan tidak langsung, juga telah wujud dan masih wujud satu persepsi yang tebal bahawa organisasi media dan wartawan kekal dikekang oleh pihak berkuasa yang jelas mempunyai kuasa yang diperuntukkan di bawah undang-undang sedia ada memberikan ruang kawal selia yang luas kepada pihak berkuasa.

Penubuhan MMM bukanlah perkara luar bias di dunia. Ini kerana lebih 50 negara telah pun mewujudkan majlis akhbar atau majlis media mereka sendiri sepanjang lebih 100 tahun lalu. Tetapi dari sudut politik dan ekonomi media di Malaysia, usaha tersebut dilihat sebagai satu komponen yang penting. Tuntutan industri telah tercapai, manakala janji atau tawaran politik juga telah ditunaikan. Dalam soal ini, Kerajaan MADANI nampaknya telah mengotakan salah satu janji utama pilihan raya. Kini masa untuk membawa entiti baharu ini untuk menghadapi perjalanan ‘hidup’ yang lebih mencabar. Industri perlu menerajui entiti mereka sendiri dengan berani dan berkesan. 

Pihak media dan wartawan telah memperoleh apa yang mereka hasratkan selama ini. Sama ada ‘anak mereka ini’ akan menjadi seorang warganegara soleh, bertanggungjawab dan memiliki segala nilai-nilai murni dan positif, itu terletak di tangan mereka sendiri. MMM telah mengadakan mesyuarat agung pertamanya pada 7 November 2025, antara lain meluluskan tujuh usul utama bagi memperkukuh kerangka tadbir urus dan etika kewartawanan. Antara usul diluluskan termasuklah penggubalan serta penggunapakaian Kod Tatalaku Media serta Mekanisme Ketidakpuasan Hati, yang menjadi asas kepada proses penyeliaan aduan awam dan pematuhan etika dalam pelaporan berita.

Ketika membentangkan RUU MMM di Dewan Rakyat pada Februari 2025,  Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching memberitahu Parlimen bahawa “RUU MMM mencerminkan usaha kerajaan bagi membuka jalan ke arah media yang lebih demokratik, bebas dan juga beretika di Malaysia. Majlis Media yang terbuka, bertanggungjawab dan telus dapat membantu membina keyakinan terhadap media, selain menyumbang kepada kredibiliti organisasi media.” MMM mempunyai kuasa untuk bertindak sebagai sebuah badan tadbir urus media yang bebas dengan mewujudkan komuniti media yang profesional dengan pelaporan yang beretika, adil dan tetap melalui sumber yang sahih.

Fungsi MMM terdiri daripada tujuh. Ini termasuklah (i) menetapkan standard dan mengadakan tatalaku bagi pengamal media dan pengamal media bebas mengikut standard kewartawanan yang beretika dan bertanggungjawab, (ii) menggalakkan standard kewartawanan yang beretika dan bertanggungjawab yang tertinggi, kebebasan media dan hak pengamal media, (iii) mengawal selia etika dan tatalaku profesional pengamal media dan pengamal media bebas, (iv) menggalakkan komunikasi antara pengamal media, kerajaan dan orang awam, (v) mencadangkan pembaharuan undang-undang yang berhubungan dengan kebebasan media, (vi) memudah dan menyelaraskan perkara-perkara berkaitan dengan latihan, pembangunan kapasiti dan pembangunan profesional wartawan dan pertubuhan media dalam kalangan ahli majlis, (v) menentukan mekanisme ketidakpuasan hati dan prosiding tatatertib terhadap ahli majlis, dan (vi) melakukan apa-apa perkara lain yang timbul atau berbangkit daripada fungsi majlis. 

MMM juga diberikan beberapa kuasa, antaranya mengadakan standard kewartawanan yang beretika dan bertanggungjawab, termasuklah tatalaku bagi pengamal media dan pengamal media bebas, menentukan perkara berkaitan dengan keahlian, pentadbiran dan pengurusan majlis,  dan menjalankan siasatan terhadap sebarang aduan atau maklumat yang diterima terhadap pengamal media melalui mekanisme ketidakpuasan hati. Bagi menangani aduan berkaitan rasa tidak puas hati, MMM boleh mewujudkan mekanisme untuk mengawal selia prosedur yang berhubungan dengan aduan ketidakpuasan hati, menentukan proses dan prosedur bagi sistem aduan, mewujudkan sistem penyelesaian pertikaian yang cekap dan cepat untuk memastikan keyakinan awam terhadap ahli MMM dan industri media, dan menggalakkan pemahaman dan kepatuhan terhadap kewartawanan yang beretika dan bertanggungjawab.

Dengan kelahiran MMM, para pemegang taruh meletakkan harapan tinggi bahawa kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar Sedunia akan bertambah baik.  Sehubungan dengan itu, adalah wajar bagi pihak berkuasa mereformasi struktur kawal selia media dalam membentuk persekitaran media yang lebih kondusif, demokratik, bertanggungjawab dan beretika dapat dicapai. Maka, agenda penubuhan MMM haruslah bertindak (Yong, 2026) dan bergerak seiring dengan agenda-agenda reformasi perundangan yang lain seperti semakan semula terhadap Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Jika tidak kita tidak boleh mencapai objektif kewujudannya. Malaysia mempunyai banyak undang-undang yang mengawal selia industri media.  Terdapat sekurang-kurangnya lapan kerangka perundangan termasuk peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Pembentukan MMM berada di antara harapan para pemegang taruh dan sempadan undang-undang selain Akta MMM. Cabaran seterusnya ialah parameter kuasa perundangan di antara MMM dan kerangka perundangan yang sedia ada. Isu pertindihan bidang kuasa antara MMM dan badan sedia ada perlu diperjelas untuk mengelakkan tanggapan siapa lebih berkuasa. Siapa yang perlu bertolak ansur selari dengan semangat Akta MMM? Kita perlu mencari keseimbangan dalam hal ini. Jangan sehingga wujud isu wilayah kuat kuasa dalam merealisasikan MMM yang membina demi rakyat dan negara. Jika gagal dalam aspek ini, rakyat dan para pemegang taruh akan kecewa. Ia akan merugikan industri media jika MMM gagal.

Rumusan dan Syor Strategik Reformasi Media

Melihat ke hadapan dalam menentukan kebebasan mutlak industri media dan kewartawanan dan dalam memastikan peranan sebagai Estet Keempat atau Forth Estate, MMM seharusnya berfungsi sebagai sebuah badan kawalan kendiri, yang bebas sepenuhnya daripada pengaruh pihak berkuasa. MMM juga wajar memainkan peranan secara efektif, sekali gus menterjemahkan matlamat penubuhan. MMM perlu ditadbir urus sepenuhnya oleh industri tanpa campur tangan kerajaan demi menyubur dan mempertahan kebebasan media. 

Matlamat kebebasan dan pertumbuhan industri media Malaysia akan lebih berkesan di bawah tadbir urus pihak industri sendiri, sekali gus menonjolkan imej lebih baik di peringkat antarabangsa.  Sejauh mana harapan dan sasaran sebenar MMM akan menjadi kenyataan? Ini persoalan besar di hadapan kita. Banyak pihak membangkitkan kerisauan, kebimbangan dan kegusaran bahawa kebebasan yang dimimpikan masih jauh, malah sukar untuk dikecapi jika MMM tidak bergerak dengan bebas bagi melaksanakan kesemua fungsinya. Terdapat kebimbangan bahawa perjalanan MMM boleh jadi tidak sejajar dengan semangat asal penubuhannya. Ini cabaran besar. Justeru itu, diharap perjalanan MMM akan mencerminkan semangat sebenar akta yang telah mula dikuatkuasakan.

Pada masa ini, di Malaysia terdapat lebih daripada 200 entiti media yang pelbagai saiz  meskipun bilangan wartawan semakin mengecil. Edaran produk media cetak (akhbar dan majalah), terutama bahasa Melayu, Tamil dan Inggeris juga merosot dengan mendadak, berada pada paras yang jauh daripada dijangkakan berbanding lima tahun lalu. Pengurusan yang tiada pilihan memfokus kepada kumpulan audien dalam talian. Di sebalik senario itu, kBottom of Formebebasan MMM amat wajar disediakan bagi memperkukuh kredibiliti organisasi media dan wartawan. Semuanya berkait antara satu sama lain, iaitu kebebasan, kredibiliti, integriti dan kebolehpasaran produk. Jadi, keseluruhannya berjaya atau gagalnya MMM terletak dan ditentukan oleh kesemua pemegang taruh. Keberkesanan MMM juga bergantung kepada sejauh mana orang ramai mempercayai langkah dan tindakannya. Terdapat juga kebimbangan bahawa MMM mungkin cenderung memihak kepada kerajaan jika tidak diurus secara telus. 

Untuk MMM  benar-benar efektif, beberapa syarat perlu dipenuhi. MMM perlu ada autonomi institusi, perwakilan seimbang, dan ketelusan operasi.  Serahkan kepada MMM untuk melakukannya segala-gala kecuali isu-isu jenayah yang perlu ditangani polis. Media, wartawan dan penerbit perlu ada lebih banyak autonomi dalam pelaporan – dengan menetapkan garis panduan yang jelas untuk kewartawanan yang bertanggungjawab, menyediakan platform untuk menyiasat dan menjadi pengantara pertikaian antara orang awam dan organisasi media, menggalakkan keterbukaan dalam cara media beroperasi, membina kepercayaan orang ramai, dan memudahkan dialog antara media, kerajaan dan masyarakat sivil untuk mendorong pembaharuan yang melindungi kebebasan media.

Kelahiran MMM sudah lewat, tetapi impaknya adalah transformatif kerana ia boleh memperkukuh kewartawanan beretika, memperkasakan pengawalseliaan kendiri dan membina kepercayaan awam. Malah, hasil besar MMM juga bergantung pada sejauh mana ia menyesuaikan diri dengan persekitaran sempadan autoriti pelbagai kementerian dan agensi sedia ada, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Komunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia, yang telah menggunakan kuasa kawal selia mereka ke atas wartawan dan media secara mendalam dan meluas selama ini. Oleh itu, sempadan autoriti itu perlu distruktur semula agar jelas di semua peringkat demi mengelakkan konflik kuasa kawal selia. Jika tidak, media dan wartawan akan terus berada di bawah pengaruh kawalan, dan kegusaran dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab akan berlarutan. Seolah-olah ada badan tetapi tiada roh. 

Jika keadaan itu wujud, ia bukan sesuatu yang baik bagi kerajaan daripada segi imej dan persepsi. Media di Malaysia masih belum muncul sebagai Estet Keempat yang efektif dalam proses pembangunan negara bangsa. MMM ada banyak cabaran untuk ditangani dalam usaha menjadi perisai yang berwibawa. Kerajaan MADANI juga ada tugas besar. Bukan setakat mengadakan Akta MMM; sebaliknya perlu mengambil langkah-langkah membina yang seterusnya demi mewujudkan persekitaran lebih kondusif untuk wartawan dan bidang kewartawanan,  dan juga bagi MMM dalam erti kata yang lebih meluas. Senario pada hari ini hanya satu permulaan baharu.

Rujukan

Centre for Independent Journalism (Malaysia). (2025). A Report on the Malaysian Media Landscape in 2024. https://cijmalaysia.net/wp-content/uploads/2025/06/A-Report-On-The-Malaysian-Media-Landscape-in-2024.pdf

Harris, C. R., & Lester, P. M. (2002). Visual journalism: A guide for new media professionals. Allyn and Bacon.

Hasim, M. S. (1996). Akhbar dan kuasa: Perkembangan sistem akhbar di Malaysia sejak 1806. Penerbit Universiti Malaya.

Hodgson, F. W. (1987). Subediting: A handbook of modern newspaper editing and production (2nd ed.). Focal Press.

Idris, R., & Ibrahim, M. I. (2024, February 21). Kabinet lulus RUU Majlis Media Malaysia, bentang di Parlimen Jun ini. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/02/1215167/kabinet-lulus-ruu-majlis-media-malaysia-bentang-di-parlimen-jun-ini

Institut Akhbar Malaysia. (n.d.). Penubuhan Majlis Media Malaysia: Intipati penubuhan Majlis Media Malaysia – Cadangan MPI kepada kerajaan. https://mpi.my/wp/majlis-media-malaysia-2/majlis-media-malaysia

Johari, N. (2026, January 17). Wartawan FMT disiasat di bawah Akta Hasutan. Malaysia Gazette. https://malaysiagazette.com/2026/01/17/wartawan-fmt-disiasat-di-bawah-akta-hasutan/

Maniou, T. A., & Papadopoulou, L. (2024). Editorial: Press freedom, journalism practice, and professionalization in times of uncertainty. Frontiers in Communication, 9, Article 1524823. https://doi.org/10.3389/fcomm.2024.1524823

Media Freedom Coalition. (2024). Why media freedom matters. https://mediafreedomcoalition.org/wp-content/uploads/2024/12/MFC-Final-Report.pdf

Mutalib, Z. A. (2025, February 26). Sejarah tercipta RUU Majlis Media Malaysia 2024 diluluskan selepas 50 tahun dicadangkan. Berita Harianhttps://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/02/1366086/sejarah-tercipta-ruu-majlis-media-malaysia-2024-diluluskan-selepas#google_vignette

Osman, M. A. (2026, January 20). NUJM kecam intimidasi terhadap wartawan ketika sidang media. Malaysia Gazette. https://malaysiagazette.com/2026/01/20/nujm-kecam-intimidasi-terhadap-wartawan-ketika-sidang-media/

Radio Televisyen Malaysia. (2025, February 26). RUU Majlis Media Malaysia diluluskan, lembaga pengasas akan dibentuk. https://berita.rtm.gov.my/nasional/senarai-berita-nasional/senarai-artikel/ruu-majlis-media-malaysia-diluluskan-lembaga-pengasas-akan-dibentuk/

Ricki-Lee, G. (2023). Media freedom and journalist safety in the UK Online Safety Act. Journal of Media Law, 15(2), 179-212. DOI: 10.1080/17577632.2024.2307678

Sinar Harian. (2025, February 27). RUU Majlis Media Malaysia: Pencapaian bersejarah untuk kebebasan media, etika – MPI. Sinar Harian. https://www.sinarharian.com.my/article/714998/berita/nasional/ruu-majlis-media-malaysia-pencapaian-bersejarah-untuk-kebebasan-media-etika—mpi

Stovall, J. G. (2005). Journalism: Who, what, when, where, why and how. Pearson.

Utusan Borneo Online. (2025, February 27). RUU Majlis Media Malaysia yang diluluskan tanda penting kebebasan, akauntabiliti media. Utusan Borneo Online. https://www.utusanborneo.com.my/2025/02/27/ruu-majlis-media-malaysia-yang-diluluskan-tanda-penting-kebebasan-akauntabiliti-media

Yong, S. H. (2025, October 31). Tiba masanya Majlis Media Malaysia bertindak, bukan membisu. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2025/10/1465738/tiba-masanya-majlis-media-malaysia-bertindak-bukan-membisu

Author

Dr G Manimaran

Share this post:

Related Posts
Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipiscing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore